Saturday, August 28, 2010


Jalur Gemilang dipijak, diludah dan dibakar. Bukan itu sahaja najis turut dilemparkan. Ugutan demi ugutan terus dibuat oleh beberapa penganjur tunjuk perasaan itu terutama Koordinator Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera). Antaranya mahu menjadikan rakyat kita dan kepentingan Malaysia sebagai sasaran.


Ketika isu itu panas di sana, suasana di negara ini tenang. Rakyat kita tidak keluar berdemonstrasi kerana melihat hubungan dengan Indonesia begitu istimewa berbanding negara lain. Ia bukan bererti kita takut bersuara. Rakyat Malaysia sanggup turun di jalanan melakukan demonstrasi membantah kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) biarpun tahu kesannya terhadap tekanan politik antarabangsa dan ekonomi.

Tetapi ia berbeza dengan Indonesia - negara serumpun dan bersaudara. Ternyata kita banyak beralah dengan Indonesia. Malaysia seperti biasa, sentiasa percaya semua isu akan dapat ditangani dengan baik tanpa perlu ribut-ribut kerana itu budaya kesantunan nusantara. Saya bangga kerana rakyat Malaysia masih bersikap rasional dan tidak terikut-ikut sentimen liar penunjuk perasaan di sana. Padahal terlalu kerap nelayan dan bot pihak berkuasa Indonesia menceroboh perairan kita. Ketika jerebu teruk melanda negara ini saban tahun akibat kebakaran hutan di Indonesia, rakyat kita juga tidak keluar berdemonstrasi walaupun ia memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan aktiviti ekonomi.

Saya percaya isu terbaru ini akan reda sedikit masa lagi tetapi ia akan pasti berulang. Sedar atau tidak, bendera Malaysia paling banyak dibakar di bumi Indonesia. Kerap dan mudah sangat kita dihina seolah-olah Malaysia bukan negara berdaulat. Senario ini tidak berlaku dengan negara jiran lain.

Dalam kita dituntut untuk terus menjaga hubungan baik dan memakmurkan jiran, kita perlu berpada-pada. Selama ini, pendirian berlembut dan begitu pemurah kepada Indonesia dalam banyak hal, telah mengundang padah. Untuk memberkas dan menghantar pulang pendatang haram dari negara itu juga kita terpaksa tunduk kepada tekanan dari seberang. Maka apabila diambil tindakan kemudian, ada sahaja pihak di Indonesia bertindak balas.Saya berharap dalam masa terdekat ini, rakyat kita mengambil serius saranan Kementerian Luar agar jangan ke Indonesia melainkan bagi urusan penting. Keghairahan untuk ke negara itu bagi tujuan riadah seperti golf dan berlibur serta membeli belah dan melancong sewajarnya dihentikan. Untuk apa terhegeh-hegeh ke negara yang banyak menyaksikan kita dihina.

Walaupun tindakan demonstrasi liar itu melibatkan segelintir rakyat Indonesia tetapi sentimennya disemarakkan oleh media dan NGO sehingga membentuk persepsi buruk terhadap Malaysia, yang gagal dibendung oleh kerajaannya. Mesej daripada rakyat Malaysia harus disampaikan.

Banyak lagi pilihan yang kita ada. Semuanya boleh dilakukan tanpa perlu menggugat hubungan kedua-dua negara. Tidak perlu menunggu kerajaan mengambil keputusan besar, rakyat juga ada hak dalam membuat pilihan. Misalnya, untuk apa menghantar anak belajar perubatan di sana jika keselamatan mereka asyik terancam?

Sesungguhnya rakyat amat terganggu dan marah kerana penghinaan berterusan ini berlaku lebih-lebih lagi menjelang Hari Kemerdekaan Malaysia. Namun saya sedikitpun tidak gundah kerana kita adalah lebih terhormat dan lebih bertamadun daripada golongan yang memijak dan membakar Jalur Gemilang. Ia akan mendorong kita untuk lebih berwaspada dan lebih gagah melangkah ke hadapan. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan. Jangan lupa, Malaysia juga adalah negara berdaulat...

Malaysia adalah negara yang bertamadun dan berdaulat. Sesuai dengan rakyatnya yang professional dan berfikiran kelas pertama terbaik dunia.