Friday, December 31, 2010

Mencari punca kurang bukan bumiputera dalam ATM



Tidak berapa lama dulu banyak diperkatakan mengenai kurangnya rakyat bukan Melayu khususnya orang Cina mahu berkhidmat dengan angkatan tentera kita hingga ada yang mempersoalkan patriotisme mereka terhadap negara ini.

Ia timbul berikutan jawapan yang diberikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Parlimen, November lalu hingga menimbulkan pertikaian oleh semua pucuk pimpinan politik bukan Melayu termasuk daripada MCA, Gerakan, MIC, dan juga DAP, berikutan begitu nyaringnya bantahan pimpinan parti politik bukan Melayu. Apakah yang akan mereka lakukan untuk mendapatkan lebih ramai bukan Melayu menyertai ATM? Kerana daripada perangkaan yang ada penyertaan kaum Cina , sememangnya amat mengecewakan.

Apa tidaknya bila dilihat daripada sejumlah lebih 100,000 anggota ATM. sekarang penyertaan orang Cina hanya 0.2% sahaja dalam army, 0.3% navy dan 0.4% air force. Bagi kaum India pula peratus penyertaan mereka juga kecil, walaupun lebih sedikit daripada kaum Cina, iaitu 0.7% army, 1.1%navy dan 1.7% air force.

Dalam tempoh 2 tahun lalu, daripada beribu-ribu anggota baru di ambil ada hanya 903 bukan Melayu, itupun kebanyakkan daripada mereka 795 orang adalah dari Sabah dan Sarawak.
Terdapat hanya 26 oarng sahaja rakyat berketurunan Cina yang menyertai ATM dalam tempoh itu dan 82 orang kaum India. Nampaknya penyertaan kaum Cina dalam ATM semakin berkurangan.

Maka itu, tidak menghairankan kenapa seorang blogger menulis bahawa Melayu adalah untuk mempertahankan negara dan memastikan wujudnya keamanan supaya kaum lain, khususnya Cina yang dilindungi Melayu itu dapat menggunakan keamanan yang ada untuk mengaut kekayaan.

Dalam pada itu, orang Melayu yang mengharapkan dapat bantuan bukan Melayu supaya boleh hidup dalam keadaan yang lebih selesa tidak menerimanya malah Dasar Ekonomi Baru pun sering saja mendapat kecaman.

Walaupun pandangan ini agak ekstrem, ada juga kebenarannya, dan bukan Melayu sepatutnya merenung pandangan ini.

Ada yang berpendapat bahawa tidak mungkin lebih ramai bukan Melayu, khususnya kaum Cina boleh diharapkan menyertai ATM kerana dikatakan budaya mereka dan ibubapa mereka juga tidak menggalakkan anak mereka berbuat demikian.

Malah seorang lagi blogger menyebut bekas orang kuat Singapura, Lee Kuan Yew pernah menulis dalam memoirnya bahawa ada pepatah Cina mengatakan seorang pemuda baik tidak akan menjadi seorang askar seperti besi keluli tidak akan diguna untuk dibuat paku.

Jelas sekali pandangan kaum Cina terhadap penyertaan mereka dalam tentera sememangnya tidak mendapat galakan kerana tidak ada peluang untuk mereka membuat duit.

Maka sejak persoalan itu timbul wujudlah pelbagai cadangan bagaimana hendak menggalakkan bukan Melayu menyertai ATM. Antaranya menaikkan gaji anggota tentera dengan alasan tangga gaji askar Malaysia sekarang amat rendah dan tidak akan dapat menarik bukan Melayu, lebih-lebih lagi rakyat berketurunan Cina menyertainya.

Cadangan ini sungguh menakjubkan. Apakah hanya kerana hendak menggalakkan rakyat berketurunan Cina menyertai ATM barulah terfikir hendak menaikkan pendapatan perajurit kita?

Apakah selama ini bagi rakyat berketurunan Melayu dengan menyertainya, walaupun dengan bayaran gaji kecil pun tidak mengapa? Hanya oleh kerana mahukan rakyat bukan Melayu digalak menyertai ATM, maka barulah terfikir untuk menigkatkan pendapatan mereka? Cadangan bukan saja pelik, tetapi amat mengharukan.

Sebarang kenaikan gaji tidak harus diasaskan kepada perkauman tetapi sepatutnya, berdasarkan kepada keadaan semasa serta keperluan, selain daripada pengetahuan, kecekapan dan kemahiran.

Demikian juga ada cadangan supaya sesuatu kempen khusus diadakan untuk menggalakkan lebih ramai bukan Melayu menyertai ATM. Malah usaha sememangnya sudahpun dijalankan dimana pengambilan khusus untuk bukan Melayu pernah diadakan dan tidak mendapat sambutan yang diharapkan. Jadi apa perlunya pengambilan terhad demikian hendak diadakan lagi?

Nampaknya dalam negara ini sekarang semuanya dilihat dari segi kehandak perkauman. Jika demikianlah halnya, maka itu, kita juga boleh bertanya apakah pihak swasta tdak pula mahu adakan kempen untuk mendapatkan lebih ramai Melayu menyertai bidang pengurusan, khususnya pengurusan kanan syarikat kaum Cina yang ketandusan orang Melayu?

Dikatakan juga kaum Cina akan hanya menyertai pasukan tentera di negeri di mana mereka adalah kaum majoritinya. Maka itulah China atau Taiwan mahupun Singapura tidak menghadapi masalah mendapat penyertaan rakyat mereka masing-masing untuk menyertainya angkatan tentera mereka.

Selain itu timbul juga tohmahan kononya wujud kehendak disiplin dan diskriminasi untuk kenaikan pangkat sebagai antara sebab kenapa bukan Melayu tidak ditarik untuk menyertai ATM. Tetapi juga angka penyertaan mereka begitu kecil sekali berapa ramai pula pegawai kanan ATM yang hendak diadakan daripada kalangan bukan Melayu?

Apa pun sememangnya sudahpun wujud pegawai kanan hingga pangkat General terdiri daripada bukan Melayu. Bagaimanapun, jelas tanpa keamanan dalan negara tidak siapa pun, termasuk bukan Melayu dapat hidup makmur dan dengan itu timbul juga persoalan apakah salah untuk mengharapkan lebih ramai bukan Melayu menyertai ATM?

Demikian pula pernah disebut bahawa sekolah aliran Cina juga tidak berusaha untuk mewujudkan perasaan kebanggaan terhadap negara dan memupuk perasaan nasionalistik di kalangan pelajar mereka.

Apakah tohmahan ini benar, hanya sekolah aliran Cina saja yang boleh menghuraikan. Dalam pada itu timbul juga persoalan apakah pernah akhbar berbahasa Cina menjalankan kempen untuk menggalakkan rakyat keturunan Cina menyertai ATM?

No comments:

Post a Comment