Tuesday, December 28, 2010

MENDAYA BANGSA MENERAJU KEMAKMURAN


Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tingginya tahap toleransi, sekiranya naluri asal yang wujud tidak diuruskan dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman sengat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sikap tabii manusiawi itu sendiri.

Justeru itu, tindakan pihak tertentu yang kini mempersoalkan kontrak sosial itu, amat menghiris perasaan orang Melayu yang telah membuat pengorbanan terbesar berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum lain bagi mencapai kemerdekaan.
Penerimaaan kerakyatan berasaskan prinsip "jus soli" atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip "jus sanguinis" iaitu hak darah telah mentransformasikan landskap politik Malaysia selama-lamanya.

Kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional. Dalam arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan ketinggalan. Secara automatik, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur.

Gagasan 1 Malaysia juga selaras dengan nilai-nilai Islam dan semangat yang ditunjukkan sirah Rasullullah SAW dalam pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun lagi harmoni berasaskan Perlembagaan (Piagam Madinah) mengutamakan serta mempertahankan agama serta keadilan kepada semua pihak.

Perlembagaan juga melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada orang-orang bukan Islam. Jelaslah 1 Malaysia bukanlah impian baru, inilah impian abadi negara dari dulu dan selamanya. Ia adalah gagasan Almarhum Datuk Onn Jaafar, cita-cita Almarhum Tunku Abdul Rahman, harapan Tun Abdul Razak, kemahuan Tun Hussein Onn, aspirasiTun Dr Mahathir Mohamad dan kehendak Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial manakala keadilan sosial tidak mampu dicipta tanpa kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang berteraskan perpaduan nasional. Ringkasnya, ketiga-tiga elemen tersebut adalah saling melengkapi, saling berkait dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment